-->

Pentingnya akauntan beretika

Beberapa hari lalu, satu artikel Forbes diterima melalui e-mel menarik perhatian. Mungkinkah Goldman Sachs, bank pelaburan terkemuka menjadi ‘sasaran’ akibat terlalu berjaya? Jon Corzine, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs mendakwa bank itu menjadi sasaran kerana berkembang maju di saat ekonomi merudum. Beliau berpendapat kes yang didakwa tidak begitu kukuh, mungkin hanya sebagai satu alasan untuk menggubal reformasi kewangan di Amerika Syarikat.

Semasa pembentangan di Kongres AS pada November tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs, Lloyd Blankfein membuat kenyataan terkenalnya bahawa pegawai bank seperti beliau ‘membuat kerja tuhan’. Ini kerana sumbangan bank sangat penting, terutama dalam membantu syarikat perniagaan mendapat modal untuk berkembang dan membina kekayaan, memberi peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf sosial masyarakat.

Kita tidak tahu apa sentimen sebenar Blankfein ketika membuat kenyataan itu. Namun bagi umat Islam, semua kerja kita lakukan adalah kerana Allah. Umat Islam berpegang bahawa semua usaha membangunkan diri dan masyarakat adalah satu ibadah. Semua peranan adalah penting, tidak kira sama ada sebagai pegawai bank, pensyarah, kerani mahupun akauntan.

Isu utama ialah amanah dan integriti. Ini bukan isu baru bagi profesion perakaunan. Skandal Enron dan Worldcom sehingga kini masih membayangi dunia kewangan. Pengawasan kerajaan bertambah ketat, peraturan semakin kompleks, undang-undang terus digubal untuk meningkatkan ketelusan. Hakikatnya semua masalah kewangan ini berpunca dari sikap tamak yang menggadai amanah dan integriti. Walaupun manusia semakin bijak, teknologi bertambah canggih, pengawasan diperketat, masalah kewangan akan berulang jika sifat tamak tidak dibendung.

Ciri penting seorang profesional ialah menjadikan amanah dan integriti sebagai tunggak utama jati diri. Bagi akauntan, amanah dan integriti amat penting kerana mereka bertanggung jawab sebagai penasihat perniagaan dan rakan niaga strategik kepada organisasi kecil mahupun besar. Sebagai orang utama dalam pengurusan dana dan berperanan besar meningkatkan prestasi perniagaan, setiap akauntan perlu mempunyai etika yang kukuh.

ACCA sebagai sebuah badan akauntan profesional, bertanggungjawab besar memastikan ahli-ahlinya memikul amanah dengan serius. Tanggungjawab seorang akauntan profesional tidak sekadar memenuhi kehendak peribadi pelanggan atau majikan, tetapi memegang amanah awam. Integriti menjadi nadi dan tujuan wujudnya ACCA. Integriti dan etika diberi keutamaan dalam mata pelajaran kelayakan profesional ACCA. Modul etika diwajibkan sepanjang menjadi ahli ACCA dan ahli dikenakan tindakan disiplin jika gagal mematuhinya.

Peranan akauntan memberi impak besar kepada perniagaan. Sama ada suasana ekonomi baik atau tidak, akauntan masih diperlukan. Kemahiran akauntan kini semakin penting untuk memulihkan keyakinan dalam ekonomi global, membantu perniagaan kecil atau besar mengenal pasti serta mengurus kos dan mencapai pertumbuhan berterusan. Malah ada menganggap akauntan lebih diperlukan ketika ekonomi meleset untuk membantu syarikat bebas daripada kemelut bisnes yang suram. Dengan keadaan ekonomi semakin pulih, lebih banyak perniagaan wujud dan bilangan akauntan juga bertambah.

Tahun lalu, ACCA terus mencatat peningkatan bilangan ahli dan pelajar di seluruh dunia. Keahlian ACCA global kini mencecah 140,000 ahli, peningkatan 6.5 peratus berbanding keahlian 131,500 pada 31 Disember 2008. Bilangan pelajar ACCA pula meningkat 10.4 peratus dari 366,000 kepada 404,000 pelajar. Bagi menampung peningkatan permintaan pada tahun lalu, ACCA telah membuka cawangan pejabat baru di Brussels, Bangladesh, Chengdu dan Macau.

Perkembangan positif ini berlaku dalam suasana ekonomi dunia yang mencabar. Ini jelas menunjukkan kerjaya sebagai akauntan terus menjadi kerjaya pilihan global. Dengan kelayakan global, akauntan bertauliah seperti ahli ACCA boleh mencari pengalaman kerja di luar negara. Namun di mana jua mereka berada, etika dan integriti mesti menjadi paksi utama. Ini kerana dilema etika menjadi semakin mencabar dalam suasana kerja semakin kompleks.

Mengenai etika, Presiden Institut Etika Global Rushworth Kidder menyatakan “ia pilihan yang sangat sukar… melibatkan soal betul atau salah, kebenaran atau kesetiaan, individu atau komuniti, soal jangka pendek atau jangka panjang dan keadilan atau belas kasihan”.

Persoalan etika boleh menjadi perkara kompleks terutamanya dalam budaya kerja yang terlalu mementingkan kejayaan. Tetapi bagi seorang akauntan, prinsip etika dan integriti wajib terus dipegang dan diamalkan walau di mana saja, lebih lagi dalam suasana kompleks dan mencabar.

Peranan akauntan juga penting bagi apa jua usaha transformasi sama ada untuk syarikat mahupun negara. Bulan lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah ekonomi berpendapatan tinggi. Akauntan beretika sudah pastinya boleh memberi sumbangan penting menjayakan MEB dan mampu menjadi kunci utama kepada transformasi ekonomi, ketelusan, akauntabiliti dan pelaksanaan. Dalam konteks ini negara bukan sahaja memerlukan akauntan yang cekap dan berwibawa tetapi akauntan yang beretika.

Penulis ialah Presiden Majlis Penasihat ACCA Malaysia dan juga CEO PUNB. Untuk makluman lanjut mengenai ACCA sila layari www.accaglobal.com.

0 comments:

Copyright © 2013 KEMBARA
KERJAYA
and Blogger Themes.